Wednesday 27 May 2015

Ulama asing datang berqasidah sambil sebar tarekat


  1. Beberapa ulama asing dikesan masuk ke Malaysia sewenang-wenangnya untuk berdakwah ajaran yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
  2. Sumber memberitahu, mereka masuk melalui program keagamaan seperti qasidah dan zikir. Selain itu, mereka juga dijemput menghadiri majlis peribadi yang membuka ruang mereka menyebar tarekat bertentangan ASWJ.
  3. Salah seorang ulama luar yang menjadi perhatian ialah Sheikh Muhammad Hisham Kabbani. Beliau merupakan anak murid Sheikh Nazim Al-Haqqani, pengasas Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah yang diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 2000.
  4. Sheikh Muhammad Hisham disahkan mengambil alih kepemimpinan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah daripada Sheikh Nazim.
  5. Sumber juga berkata, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan mengharamkan tarekat itu kerana ia bertentangan dengan fahaman dan akidah ASWJ dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
  6. Antara perkara yang mereka lakukan ialah pemujaan melampau terhadap Rasulullah SAW dengan mendakwa baginda hadir di majlis sambutan maulid mereka. Sheikh Muhammad Hisham pula pernah melakukan ritual dan doa di kubur serta mencium kubur tersebut. Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan tarekat ini mirip dengan ajaran Syiah.
  7. Seorang lagi pendakwah luar yang turut mendapat perhatian ialah Habib Umar Hafiz yang pernah diundang menghadiri program selawat perdana di Putrajaya, Mei lalu. Bagaimanapun beliau tidak hadir.
  8. Habib Umar didakwa ulama keturunan Rasulullah SAW seperti mana tertera dalam biografi bukunya.
  9. Terdapat rakaman video menunjukkan Habib Umar melakukan aksi meragukan berkaitan Rasulullah SAW ketika menghadiri satu majlis di Yemen.
  10. Selain itu buku tersebut mewujudkan pemujaan melampau kepada Habib Umar seperti mana keterangan gambarnya yang antara lain ditulis, ‘Peribadi beliau merupakan hadiah terbesar bagi muslimin saat ini’ dan ‘..hati menjadi tenang bila sesiapa yang memandang wajahnya’
  11. Untuk itu pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan bagi membanteras penularan tarekat tersebut kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara.
  12. Ini memandangkan jika pengikut mereka semakin ramai dan kuat, ia akan menyebabkan wujud ketaksuban kepada pemimpin mereka. Penguatkuasaan hendaklah dilakukan segera melalui cara mencegah sebarang program yang dilihat mampu meluaskan pengaruhnya.
  13. Sewajarnya latar belakang pendakwah asing mesti disemak terlebih dahulu sebelum  dibenarkan masuk ke negara ini kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
  14. Kita perlu tegas dalam soal tersebut kerana apa yang dinyatakan bukanlah berdasarkan tuduhan semata-mata tetapi berpandukan kepada bukti-bukti yang dimiliki.


No comments:

Post a Comment