Monday 23 February 2015

Golongan ulama Pas bakal kena zip

  • Sudah pasti banyak pihak tertarik apabila Multaqa Ulama SeMalaysia II anjuran Dewan Ulama Pas menyaksikan kelantangan penyokong golongan itu melakukan `serangan’ ke atas golongan bukan ulama dalam parti tersebut.
  • Malah ada desakan supaya beberapa pemimpin dipecat kerana dituduh dalang gerakan menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Sehari sebelum multaqa berlangsung Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd.Khairuddin Aman Razali mengakui wujud cubaan untuk mensabotaj, merungkai dan mempertikaikan kepemimpinan ulama yang selama ini menjadi teras kekuatan parti tersebut.
  • Berdasarkan apa yang berlaku sememangnya tidak boleh dapat dinafikan ada semangat berkobar-kobar dalam kalangan ulama Pas dan penyokong mereka untuk ‘membersihkan’ parti itu daripada golongan pemimpin yang lebih ‘berkiblatkan’ pemimpin pakatan pembangkang.
  • Tetapi persoalan apa yang golongan ulama boleh buat? Golongan itu tidak mempunyai kekuatan politik dalam Pas bagi membolehkan mereka menentang habis-habisan pemimpin yang cuba merungkai kepimpinan ulama dalam parti tersebut.
  • Pemimpin-pemimpin daripada golongan ulama boleh bersuara atau membuat desakan apa sahaja tetapi apakah kesudahannya? Untuk mengambil tindakan atau mengukuhkan kembali kekuatan golongan itu dalam Pas mereka memerlukan pengaruh dan penguasaan politik. Malangnya, golongan ulama sudah tidak mempunyai kekuatan tersebut.
  • Walaupun jawatan Presiden dikuasai oleh golongan ulama dan Pas mempunyai Majlis Syura Ulama serta Dewan Ulama tetapi dalam senario politik terkini, mereka tidak memiliki keupayaan bagi menghalang gerakan menamatkan kepimpinan ulama dalam Pas.
  • Penguasaan golongan bukan ulama dalam Pas kini begitu hebat sekali sehinggakan mereka berupaya menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam parti sendiri biarpun ditentang dan dibantah oleh golongan ulama.
  • Golongan bukan ulama juga sanggup memperlekeh dan me­rendah-rendahkan pemimpin mereka sendiri, bukan lagi secara sembunyi-sembunyi tetapi terbuka. Dalam membuat kenyataan mereka langsung tidak memikirkan maruah atau martabat pemimpin utama mereka.
  • Sikap itu menyebabkan kepimpinan Pas yang diterajui oleh Abdul Hadi dilihat tidak bermaya dan di mana-mana sahaja orang mula bercakap bagaimana era kepimpinan ulama dalam Pas kini sedang menuju penghujungnya.
  • Gelombang atau arus untuk memastikan golongan ulama sekadar ‘penghias organisasi’ sudah semakin kuat bergerak dalam Pas. Mereka hanya menanti masa sahaja untuk merealisasikan impian yang selama ini sudah terpendam sekian lama dan ia dijangka sampai kemuncaknya pada pemilihan parti Jun nanti.
  • Golongan ulama hanya boleh memberi amaran, mengecam dan membidas tetapi itu tidak akan mampu menahan arus yang bergerak bagi menghumban mereka daripada tampuk kekuasaan dalam Pas.
  • Harapan terakhir golongan ulama ialah ahli-ahli Pas yang akan membuat penentuan barisan ke­pimpinan tidak lama lagi. Hanya kelompok itu sahaja yang mampu menghalang golongan ulama tersingkir.
  • Namun dalam masa sama, semua pihak memahami pertarungan dalam Pas kali ini bukanlah pertarungan biasa sebaliknya pertarungan luar biasa, pertarungan yang akan menentukan untung nasib golongan ulama dalam parti tersebut.
  • Sudah pasti dari semasa ke semasa menjelang pemilihan pada Jun nanti, beberapa pemimpin yang cuba menunjukkan ‘lakonan politik’ mereka kononnya mereka akan tetap mempertahankan kepimpinan ulama.
  • Mereka akan berhujah sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, mereka akan sentiasa menjaga tataterib sebagai ahli jamaah sebuah pergerakan Islam.
  • Tetapi semua itu hanyalah ‘sandiwara politik’ yang sebahagian besar daripada mereka sudah belajar sejak tahun 1998 lagi daripada ‘sifu-sifu’ mereka dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
  • Berikutan itu, pelbagai pihak menanti apakah langkah politik yang hendak dilakukan oleh pe­mimpin daripada golongan ulama bagi memastikan mereka tidak kehilangan kuasa dalam Pas.
  • Sebelum ini, Majlis Syura Ulama yang sebelum ini dianggap sebagai badan tertinggi untuk dirujuk bagi menentukan hala tuju perjuangan Pas ‘sudah berjaya’ dineutralkan. Majlis tersebut kini seolah-olah hanya tinggal nama sahaja, tiada apa-apa kuasa atau kekuatan lagi.
  • Selain itu, sebelum ini juga seruan, desakan dan cadangan Dewan Ulama pula dalam muktamar mereka hanya sekadar menjadi minit mesyuarat sahaja. Golongan tersebut tidak berupaya untuk merealisasikan dalam bentuk tindakan. Keadaan itu berlaku kerana ulama sudah semakin terhakis kekuatan politik mereka?
  • Hakikat itu tidak boleh dinafikan dan ia akan menjadi lebih ketara jika golongan ulama tidak melakukan sesuatu untuk mengembalikan penguasaan mereka dalam Pas.
  • Kesimpulannya, kita menanti apakah kesudahannya kemelut politik dalam Pas tetapi apa yang pasti dalam situasi terkini telah ada tanda-tanda golongan ulama bakal dilayan ‘lepas madu sepah dibuang’ atau lebih tepat lagi sebuah kita al-Quran buruk, hendak baca tidak boleh, hendak buang takut berdosa, akhirnya ‘disimpan juga sebagai perhiasan’. – Zulkiflee Bakar


No comments:

Post a Comment