Friday 13 February 2015

Nik Aziz kembali ke rahmatullah, umat Islam dahaga penyatuan

  • SELEPAS Kelantan dilanda musibah banjir paling trajis dalam sejarah, kini Darul Naim kehilangan seorang tokoh politik dan ulama yang berpengaruh apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kembali ke rahmatullah pada jam 9.40 malam, 12 Februari 2015.
  • Bekas Menteri Besar itu disahkan menghidap kanser prostat tahap empat sejak beberapa tahun lalu dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 20 Januari lalu.
  • Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir di kediamannya di Pulau Melaka dengan disaksikan seluruh ahli keluarga.
  • Anaknya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh berkata, “Ayahanda meninggal dunia di sisi seluruh kaum keluarga pada pukul 9.40 malam. Saya berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan arwah ayahanda,” katanya dalam sidang akhbar ringkas di pekarangan rumahnya di sini.
  • Solat jenazah diadakan pada pukul 10 pagi ini (13 Februari) di Masjid Tok Guru berhampiran rumahnya di Pulau Melaka. Selautan manusia membanjiri tanah perkuburan kerana ingin menziarahi jenazah Allahyarham.
  • Dalam pada itu, tinjauan mendapati beberapa pemimpin utama Pas negeri ini seperti Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut berada di rumah Allahyarham.
  • Malah ribuan orang telah memenuhi pekarangan rumah tersebut dan jalan untuk masuk ke Pulau Melaka sesak.
  • Pada 20 Januari lalu, akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz telah dimasukkan ke ICU HUSM dan berada dalam keadaan separa kritikal namun keadannya dikatakan agak stabil pada minggu lalu.
  • Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Guru telah mengikuti rawatan kemoterapi untuk mengubati kanser tersebut sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
  • Beliau yang melepaskan jawatan Menteri Besar pada 6 Mei 2013 turut mendedahkan mengenai penyakit yang dihadapinya dalam temubual eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada awal tahun lalu.
  • Nik Abdul Aziz yang mula menjadi wakil rakyat selepas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang dikenali Pengkalan Chepa) pada tahun 1967 dan mengekalkan kerusi tersebut sehingga beralih ke kerusi Dewan Undangan Negeri pada tahun 1986 sehingga sekarang.
  • Sepanjang pentadbirannya sebagai Menteri Besar selama 23 tahun sejak 1990, beliau memperkenalkan sistem pentadbiran Islam malah telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) atau hukum hudud untuk dilaksanakan di negeri ini.
  • Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediaman Allahyarham Nik Aziz di Pulau Melaka pagi ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin tersohor PAS itu. Najib juga bersama-sama jemaah menunaikan solat jenazah.
  • Semalam Najib mengucapkan takziah di atas pemergian bekas Allahyarham Nik Aziz. Perdana Menteri yang menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) menghentikan seketika ucapan perasmiannya selepas dimaklumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tentang perkara itu.
  • “Saya dimaklumkan oleh Tengku Adnan bahawa Tuan Guru Nik Aziz baru sahaja meninggal dunia.
  • “Oleh itu, marilah kita sama-sama membaca al-Fatihah dan memanjatkan doa kepada roh Allahyarham semoga disemadikan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
  • Perdana Menteri turut membuat coretan di akaun Twitter miliknya: “Innalillahiwainnailaihirajiun. Saya sedih mendengar Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah pulang ke rahmatullah. Al-Fatihah,”.
  • Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan takziah di atas pemergian Nik Abdul Aziz.
  • “Saya dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz. Moga roh beliau ditempatkan bersama hamba-hamba-Nya yang soleh.” katanya melalui akaun Twitter.
  • (Kembalinya Nik Aziz ke rahmatullah diharapkan dapat menyatukan kalangan ahli PAS yang kini sedang berpecah belah. Lebih indah lagi jika PAS, UMNO dan Melayu dalam PKR dapat bersatu kembali memartabatkan kegemilangan Islam. Tanpa penyatuan sebegini, Islam di Malaysia akan terus diperkotak katik oleh masyarakat bukan Islam seperti apa yang sedang berlaku hari ini sehinggakan teks khutbah Jumaat pun tergamak dikritik oleh golongan kafir harbi. Bersatulah Melayu. Bersatu teguh, bercerai sudah tentu roboh – GRP)


No comments:

Post a Comment