Friday 13 February 2015

NGO Melayu Islam perlu ada sayap ekonomi

  • Badan bukan kerajaan (NGO) semakin penting hari ini kerana suara mereka mendapat perhatian di media sosial tanpa mengharapkan publisiti media cetak dan elektronik arus perdana. Suara mereka bergerak sepantas kilat kerana informasi kini berada di hujung jari pembaca.
  • Percaya atau tidak terdapat lebih 1,000 NGO Melayu Islam di Malaysia dan masing-masing mempunyai pengaruh dan pengikut yang bukan sedikit. Malah ada sesetengah NGO mempunyai berjuta ahli. Mereka menjadi badan pendesak, lantang menyalak, aktif berdemonstrasi dan kerap berpidato di sana sini.
  • Malangnya tidak banyak NGO Melayu Islam yang berkeupayaan membuka sayap ekonomi demi kebajikan umat Islam di Malaysia atau setidak-tidaknya untuk kepentingan kebajikan ahli. Bila dilanda musibah, NGO bertindak mengutip derma kilat keliling kampong kerana mereka tidak ada dana atau peruntukan untuk membantu.
  • Bila ditanya mengapa tiada sayap ekonomi dalam NGO, kebanyakan mereka berkata “Kita sedang mencari individu atau organisasi untuk menaja perjuangan kami”. Sebab itu kalangan bangsa bukan Melayu terutama Cina pandang NGO Melayu sebelah mata saja kerana Melayu tak ada duit.
  • Bila kena jolok dengan duit oleh penaja berkepentingan, NGO Melayu sanggup tunjuk garang sehingga sanggup buat kerja di luar batas kemanusiaan dan batas agama. Mungkinkah pesta lilin (candle light vigil) di depan Penjara Sungai Buloh merupakan antara aktiviti bodoh yang dilakukan oleh NGO yang ditaja? Jawaplah sendiri secara terbuka jika ingin ke saman di mahkamah.
  • Berkaitan NGO Melayu Islam perlu ada sayap ekonomi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara ini mungkin tidak dapat mencapai Wawasan 2020 yang diilhamkannya jika diukur pencapaian ekonomi Malaysia pada masa ini.
  • Menurutnya, ini kerana untuk mencapai Wawasan 2020, negara bukan sahaja diukur melalui pendapatan per kapita rakyat tetapi melibatkan kemajuan dalam pelbagai sektor.
  • “Kalau kita ada nisbah lima orang kaya dengan 1,000 orang miskin boleh dikira sudah baik. Jadi untuk capai sasaran ini kita perlu majukan pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, industri serta pengetahuan. Macam-macam pengetahuan kita perlu ada untuk kita capai (status) negara maju," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan bertajuk Dilema Rakyat Malaysia.
  • Wawasan 2020 adalah ilham Tun Mahathir dan ia tidak terlaksana kerana orang Melayu memberi pelbagai alasan kerana tidak dapat menyertai program ekonomi yang dilancarkan sejak merdeka. Tambahan pula, semakin cepat Melayu memajukan diri dalam perniagaan, semakin jauh golongan Cina meninggalkan kita dalam pelbagai industri.
  • Untuk memastikan Melayu tidak terus tercicir dalam ekonomi, sebaiknya semua NGO Melayu Islam di Malaysia memikirkan rancangan membangunkan ekonomi mereka, selain menadah tangan kepada kerajaan supaya menyalurkan dana dan bantuan. Kata pepatah “Beras secupak tak akan jadi segantang” - GRP

No comments:

Post a Comment